Wednesday, November 17, 2010

KU INGIN KAMU : BAB 28

Bab 28

Matanya terasa silau dengan sinaran matahari yang memancar masuk ke segenap ruang biliknya. Tetapi suasana di bilik itu terasa begitu lain. Susunan perabotnya, warna dindingnya. Mahu sahaja dia berlari keluar dari tempat yang asing itu. Badannya terasa begitu lemah. Seluruh anggotanya seolah-olah lumpuh. Dia menggunakan segala kudrat yang ada. Badannya terasa sengal-sengal, lenguh, dan letih. Dia cuba mengingati apa yang telah berlaku sebelum ini tetapi mindanya seperti gagal untuk berfungsi lagi.

Matanya digerak-gerakkan ke arah sisi kanannya. Kelihatan seorang lelaki berambut panjang sedang membaca sebuah buku kecil yang dipegang ditangan lelaki itu sendiri. Dia kenal ayat-ayat suci yang dibaca lelaki itu. Lelaki itu seolah-olah dikenalinya. Tetapi agak berbeza sedikit dengan lelaki yang dikenalinya. Digagahi diriya untuk menggerakkan tangannya. Tangan yang selama ini tidak pernah terasa terbeban lehnya kini terasa begitu berat dan sukar dikendalikan.

Akhirnya tangannya berjaya digerakkan sedikit sekaligus menarik perhatian lelaki tersebut.

”Ayu! Alhamdulilah Ayu dah sedar.” raut wajah lelaki itu begitu ceria sekali meliat perubahan pada dirinya.

”Ayu? Haa? Aduh, sakitnya kepala aku ni.” hatinya berkata sendiri. Mulutnya bagaikan tidak lagi mampu bersuara seolah-olah terkunci. Lelaki itu pergi meninggalkan dirinya disitu. Tidak lama kemudian seorang jururawat dan seorang doktor masuk kebiliknya untuk memeriksa gadis itu.

”Encik Hakimi, akhirnya dia sedah sedar dari koma. Saya minta Encik Hakimi biarkan dia berehat. Buat masa ni fikirannya masih lagi terganggu dan dia perlukan masa untuk pulih sepenuhnya.” doktor itu menerangkan kepada lelaki itu. Setelah faham dengan kondisi gadis itu. Doktor pergi meninggalkan lelaki itu di situ.

Gadis itu mengamati wajah lelaki itu. ”Hakimi? Kenapa dia di sini?” Suaranya tidak mampu dikeluarkan. Segala keupayaannya seolah-olah hilang semenjak peristiwa yang memeritkan itu. Hatinya kembali sakit mengingatkan kembali peristiwa yang telah berlaku kepada dirinya.

”Mi..” akhirnya suara itu keluar juga dan Hakimi terus menuju ke arah Ayu. Kasihan hakimi melihat keadaan Ayu. Walaupun dia sudah sedar dari koma tetapi keadaan Ayu belum kembali pulih sepenuhnya. Sesungguhnya Hakimi begitu bersyukur dengan apa yang baru sahaja terjadi ini.

”Ayu..Doktor cakap Ayu kena berehat dulu. Jangan cakap apa-apa. Tenangkan fikiran Ayu dulu.” sayu sungguh hati Hakimi melihat keadaan Ayu. ”Tadi Mi dah call ibu dengan ayah Ayu. Sekejap lagi mereka sampai.”

Setelah Encik Othman dan Puan Maznah tiba di situ mereka terus meluru ke arah Ayu. Pipi Ayu dikucup Puan Maznah. Gembira hatinya melihat perkembangan baik dari Ayu. Hakimi hanya melihat dari jauh. Tidak mahu mengganggu kegembiraan orang tua Ayu. Kemudian Hakimi berlalu pergi dari situ dan dia menuju ke surau. Dia bersyukur dengan apa yang berlaku.

Setelah dua hari berlalu, Ayu sudah bertambah lebih sihat. Dia sudah boleh bergerak ke sana ke mari walaupun terpaksa dipapah oleh ibu atau bapanya. Kadangkala Hakimi yang akan mengambil alih tugas itu, tetapi Ayu sentiasa menolak pertolongan Hakimi. Dia rela menggunakan tongkat kerana kakinya tidak begitu kuat untuk berjalan, dan Hakimi pula akan sentiasa mengiringinya walaupun Ayu tidak membenarkan Hakimi membantunya.

Semenjak Ayu sedar dari koma, tiada siapa yang mahu bertanya apa yang berlaku kerana khuatir emosi akan terganggu. Emosi Ayu sudah pulih seperti sediakala dan sudah boleh kembali ketawa walaupun dari riak wajahnya dia menyembunyikan sesuatu. Hakimi merasakan sudah tiba masanya untuk bertanya apa yang telah berlaku. Masih terngiang-ngiang lagi ayat terakhir dari Ayu sebelum kemalangan. Ayu meminta pertolongan darinya tetapi Hakimi tidak sempat menolongnya dan akhirnya Ayu dijumpainya dalam keadaan yang menyedihkan.

”Ayu, makan epal ni.” Hakimi mula bersuara sambil meletakkan buah epal yang telah siap dipotong di hadapan Ayu. Senyuman sentiasa terukir di bibir Hakimi. Dia mahu Ayu gembira terus bersamanya. Ayu mengambil sepotong epal itu dan disuakan ke mulutnya. Melutnya kemudian mengunyah perlahan. ”Mi nak tanya sesuatu boleh?”

”Em, apa?” pandangan Ayu beralih ke arah luar tingkap melihat cahaya yang masuk dari tingkap kamar itu.

”Dah lama Mi tunggu Ayu kat sini. Sebelum Ayu jadi macam ni. Ayu ada call Mi. Ayu nak Mi tolong Ayu. Tolong apa Ayu?”

”Err.. Ayu.. Ayu dah lupa lah Mi. Malas lah nak ingat.” Ayu memandang Hakimi sambil tersenyum. Hakimi tahu Ayu Cuma berpura-pura. Senyuman yang terukir itu begitu pahit.

”Em..Takpelah, kalau Ayu dah sedia dan dah ingat balik. Dah hampir tiga minggu Mi tunggu Ayu. Mi boleh tunggu lagi bila Ayu dah betul-betul sedia. Mi akan sentiasa ada untuk Ayu susah dan senang Ayu, sedih dan gembira Ayu, sihat dan sakit Ayu. Ayu jangan lupa. Hati Mi masih sentiasa milik Ayu. Tak pernah Mi berikan pada orang lain.” Hakimi meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Memang benar dia tidak pernah menyerahkan hati itu kepada selain Ayu. Ayu termenung seketika.

Hakimi bangun dari kerusi yang terletak di sisi Ayu. Dia mahu berjalan-jalan mengambil angin di luar sebentar. Dia mahu Ayu bersendirian seketika. Mungkin dia telah mengusutkan kembali pemikiran Ayu. Menyesal pula bertanyakan soalan itu kepada Ayu. Hakimi benar-benar risau dengan apa yang telah terjadi kepada Ayu.

”Mi..” Ayu bersuara kembali sekaligus menghentikan langkah Hakimi. Hakimi merapati tubuh kecil Ayu.

”Kenapa Ayu?”

”Mi, dia tipu Ayu! Dia tipu Ayu, Mi!” esakan dari Ayu mula kedengaran. Tidak lama kemudian air mata Ayu mula gugur menuruni pipinya.

”Siapa tipu Ayu?” bertambah kerisauan di hati Hakimi melihat Ayu yang sudah mula menangis.

”Lelaki tu.” berat sungguh Ayu untuk menyebut nama lelaki yang telah menyakiti jiwa dan raganya itu. Kebencian terhadap lelaki itu mula menguasai diri Ayu. Sakit hatinya mengenangkan peristiwa yang telah berlaku. Hakimi mengerti lelaki yang dimaksudkan Ayu itu.

”Ayu, sabar ye. Cerita kat Mi satu-satu. Jangan sedih-sedih. Mi sentiasa ada di sisi Ayu.” Hakimi memujuk kemudian dia mula melabuhkan punggungnya di birai katil Ayu.

”Dia tinggalkan Ayu. Salah Ayu sebab percayakan dia. Ayu ingat dia betul-betul sayangkan Ayu. Rupa-rupanya muka Ayu ni sama macam bekas kekasih dia sebab tu dia pilih Ayu. Nama perempuan tu Balqis. Perempuan tu menetap dekat Mesir. Lepas perempuan tu bercerai dengan suami dia. Dia balik Malaysia kemudian dia cari Amran balik.

Selepas Amran jumpa dengan Balqis, Amran terus tinggalkan Ayu macam tu je. Sekarang diorang memang dah rancang nak kahwin lepas tunggu Balqis habis edah. Mungkin ini balasan Ayu sebab tinggalkan Mi dulu. Ayu menyesal Mi.” tanpa disedari Ayu kini sedang menangis dalam dakapan Hakimi. Hakimi hanya membiarkan Ayu memeluknya dan menumpahkan air mata di bahunya. Menangislah sepuas-puasnya Ayu. Hakimi akan sentiasa berada disisimu menemanimu sepanjang hidupnya.

Balqis? Hakimi teringat semula tentang seorang perempuan persis seperti Ayu yang ditemui berhampiran pejabatnya. Mungkin itulah orangnya. Hakimi tidak mahu menceritakan tentang Balqis yang pernah dijumpainya kepada Ayu. Hakimi akui Balqis sememangnya lebih cantik dan nampak lebih sempurna tetapi tiada bagi Hakimi, Ayu seorang gadis yang tiada pengganti. Kehadiran Ayu cukup menyempurnakan hidup Hakimi.

”Ayu jangan cakap macam tu. Semua yang terjadi ada hikmahnya. Hidup memang macam tu Ayu. Sekejap kita dekat bawah, sekejap kita dekat atas. Yang penting kita kena tabah mengharunginya. Ayu kalau nak menangis. Menangis sepuas-puasnya sekarang. Mi taknak Ayu menangis lagi lepas ni. Yang pergi biarlah pergi.”

”Tapi dia dah janji Mi.”

”Janji apa Ayu?”

”Mi, sebenarnya..” kata-kata itu terhenti. Ayu melepaskan tangannya dari terus memeluk Hakimi. Hakimi masih menunggu Ayu menyambung bicaranya. ”Ayu, dah tak suci lagi Mi. Kami pernah terlanjur.” tangisan Ayu kini semakin kuat.

”Dia janji nak bertanggungjawab. Tapi ini balasan dia beri dekat Ayu. Ayu malu Mi.” Hakimi mula meraup wajahnya dan beristigfar berkali-kali. Sebuah keluhan berat dilepaskan.

”Ya Allah. Macam mana boleh jadi macam ni? Ayu tahu tak dosa berzina?” punggungnya terasa rimas berdekatan dengan Ayu dan Hakimi mula menjauhkan sedikit dirinya. Hakimi mundar mandir di dalam kamar itu.

”Ayu taknak. Tapi dia rogol Ayu dan Ayu terpaksa relakan juga akhirnya.Ayu menyesal Mi.”

Tiba-tiba pintu kamar itu dibuka dengan kasar. Encik Othman muncul disebalik pintu itu. Wajahnya kelihatan tenang dan terus menuju ke arah Ayu yang sedang teresak-esak di atas katil.

”Pang!” satu tamparan kuat hinggap di wajah Ayu membuatkan Ayu terbaring. Rupa-rupanya sedari tadi Encik Othman telah mendengar perbualan Hakimi dan Ayu. Hakimi terkejut dengan tindakan Encik Othman sebentar itu.

”Anak tak guna! Kau nak memalukan ayah je! Apa tak cukup didikan yang ayah beri? Ini balasan kebebasan yang ayah beri?” kemarahan Encik Othman begitu meluap-luap.

Encik Othman benar-benar marah kejutan yang tidak disangkanya itu. Tangannya kina mula diangkat lagi. Ayu mungkin akan dibelasah kali ini. Dengan pantas Hakimi menahannya.

”Sabar pakcik, sabar!” Hakimi menenangkan. ”Istigfar banyak-banyak.”

Encik Othman dibawa Hakimi untuk duduk di kerusi yang disediakan. Nafas Encik Othmanturun naik dengan laju. Hakimi mengusap belakang badan Encik Othman.

”Pakcik, sabar pakcik. Perkara dah jadi. Lelaki tu yang rogol Ayu. Bukan Ayu yang nak semua ni terjadi.”

”Kalau dia tak menggatal, takkan lelaki tu sanggup buat macam tu dekat dia.”

”Pakcik, perkara macam ni kita tak boleh duga. Syaitan ada di mana-mana untuk menghasut kita. Pakcik, semua orang buat silap pakcik. Ayu manusia biasa. Dia tak lari dari kesilapan itu.”

”Tapi kenapa kesilapan itu yang dia pilih!” matanya tajam memandang Ayu yang terbaring di katil.

Suasana di bilik itu menjadi tegang. Dengan keadaan Ayu yang terbaring sambil menangis, kemarahan yang meluap-luap Encik Othman. Hakimi bagaikan terperangkap dengan situasi ini. Dia juga tersilap kerana berbicara mengenai masalah Ayu di tempat itu. Mujur Puan Maznah tidak datang bersama. Jika tidak Hakimi juga akan pening kepala untuk menangani situasi ini.

”Pakcik, biar saya bertanggungjawab atas apa yang terjadi. Izinkan saya mengahwini Ayu, pakcik.”

No comments:

Post a Comment