Saturday, November 6, 2010

KU INGIN KAMU : BAB 17

Bab 17

Hujan lebat malam tadi benar-benar membuat Ayu terasa seperti tidak mahu bangun. Mahu tidak mahu dia terpaksa bangun juga. Dalam keadaan masih kurang sedar Ayu membasuh mukanya kemudian menggosok giginya. Selepas itu Ayu mengambil wudhuk dan bersolat subuh. Selesai sahaja solat Ayu mendapatkan telefon bimbitnya. Pesanan ringkas Hakimi yang dihantar malam tadi seperti tidak perlu dibalasnya.

Pakaian kotor di dalam bakul sudah terisi sejak tiga hari lepas. Lalu mengangkat bakul tersebut ke bawah untuk dibasuh. Sementara menunggu baju siap di basuh mesin basuh Ayu naik semula ke tingkat atas menuju ke tingkat atas.

Pintu bilik Esya diketuknya sehingga tiga kali. ”Esya,bangun! Dah pagi ni.” terus Ayu turun kembali ke bawah. Tidak guna dia bersusah payah mengejut Esya kerana dia akan bangun dengan caranya tersendiri. Kalau sudah terjaga bermakna Esya akan mengambil masa lebih kurang setengah jam barulah dia bangun meninggalkan katilnya.
Masanya akan terbuang jika terus menunggu Esya.

Ayu memasukkan air ke dalam jug pemanas air kemudian suis dihidupkan. Sebiji mug di ambil dari rak dan tiga sudu serbuk Milo dimasukkan ke dalamnya. Susu pekat dari dalam peti sejuk di keluarkannya lalu di letakkan di sebelah jug pemanas air itu berharap haba yang dihasilkan akan memanaskan tin susu pekat sekaligus mencairkan sedikit susu pekat di dalamnya yang telah menjadi terlalu pekat akibat kesejukan di dalam peti sejuk. Setelah air mendidih Ayu menuang air panas itu perlahan-lahan ke dalam mug yang berisi Milo sehingga hampir penuh lalu susu pekat di tuang dan air tersebut di kacau perlahan-lahan.

Ayu membawa mug berisi air Milo itu ke ruang tamu kemudian televisyen dihidupkan. Tiada rancangan yang menarik pagi itu. Ayu duduk di sofa merenung televisyen tanpa sebarang perasaan. Milo panas itu di hirup sedikit- sedikit.

Ayu pening memikirkan ke mana Hakimi menghilang. Hakimi ada tetapi bagaikan orang lain. Tiada lagi rasa sayang yang dilahirkan dan dicurahkan kepada Ayu. Ayu pula tidak pasti dengan dirinya sendiri. Seolah-olah dirinya tidak wujud di dalam hati Hakimi.

Semenjak akhir-akhir ini dia juga tidak tahu mengapa kadang-kadang dia termakan kata-kata Amran. Ada kalanya mereka keluar bersama, dan kerap kali juga mereka berbual di hadapan rumah. Terasa seperti seperti dibomohkan pula. Tanggapan itu ditepisnya jauh-jauh. Syaitan memang tidak berhenti menghasut atau hatinya memang sudah berubah? Mereka memang semakin rapat. Esya pula sentiasa memberi peluang kepada mereka berdua. Tidak pernah pula Esya mengingatkannya kepada Hakimi.

Bunyi dari mesin basuh menandakan pakaiannya telah siap dicuci membuat Ayu terkejut. Lamunannya entah hilang ke mana. Ayu meletakkan mug tersebut di atas meja dan terus menuju ke mesin basuh. Pakaian yang sudah siap dibasuh di masukkan ke dalam bakul.

”Tadi sebelum basuh, kau ringan. Ni dah basuh, dah wangi, berat bukan main.” Ayu mengomel sendiri. Terasa malas rasanya hendak menyidai baju.

Ayu kembali duduk di sofa. Mahu sahaja dia menyambung tidurnya. Suasana sejuk malam tadi benar-benar mempengaruhi sifat malasnya. Pagi itu juga masih terasa sejuk akibat hujan lebat malam tadi. Ayu bangun kembali menuju ke dapur dan mengeluarkan tin biskut dari kabinet dapurnya lalu di letakkan di atas meja. Ayu menghirup lagi air Milo dan biskut disuap ke dalam mulutnya.

Setelah itu, Ayu mencapai tudung yang diletakkan di atas kerusi dan menyarung di kepalanya. Walaupun kelihatan agak tidak kemas Ayu membiarkan sahaja. Hanya keluar di hadapan rumah untuk menyidai baju Ayu tidak merasakan dia perlu berhias cantik-cantik. Cukup dengan bertudung dan memakai pijama. Biarlah apa orang lain hendak mengata.

Ayu mengangkat kain sehingga ke depan pintu dan pintu rumahnya dibuka perlahan-lahan. Terasa udara segar masuk ke dalam rumahnya. Lantai di hadapan rumahnya juga turut basah akibat tempias hujan malam tadi. Ayu mengangkat bakulnya sehingga ke ampaian. Sedikit keluhan keluar dari mulutnya kerana penat mengangkat bakul yang sarat berisi pakaiannya yang baru dibasuh.

Ayu kemudian menoleh ke jalan di hadapan rumahnya. Terdapat sebuah kereta berwarna hitam dan bernombor pendaftaran JJB 7778. Ayu kenal kereta itu dan tertanya-tanya mengapa awal-awal pagi lagi kereta itu di hadapan rumahnya. Kereta itu juga kelihatan basah seperti di siram air. Mungkin disebabkan hujan malam tadi.

Ayu menghampiri kereta itu. Cermin tingkap terbuka sedikit untuk memberi udara masuk. Ayu mejenguk-jenguk ke tempat duduk pemandu. Tiada orang. Di tempat duduk belakang kelihatan Hakimi sedang tidur terbaring dengan kakinya dilipat sedikir kerana tiada ruangan lagi untuk kakinya di kereta itu.

Ayu mengetuk-ngetuk cermin tingkap mahu mengejutkan Hakimi. Pintu kereta pula berkunci. Hanya itu sahaja caranya untuk mengejutkan Hakimi. Itu sahaja caranya untuk mengejutkan Hakimi yang sedang nyenyak tidur. Tidak lama kemudian Hakimi membuka matanya sedikit dan tangannya meraba-raba dadanya mencari cermin matanya. Setelah cermin matanya dijumpai terus sahaja dipakainya. Hakimi mengecilkan sedikit matanya melihat siapa di hadapannya.

Diamati wajah Ayu sekejap, terus Hakimi membuka pintu keretanya dan terus keluar mendapatkan Ayu.

”Baby!” keduaa-dua tangan Ayu di dipegang erat Hakimi. ”Baby, b mintak maf selalu kecewakan baby. B sibuk dengan dunia b. B lupakan baby, b abaikan baby, b mintak maaf baby!”

”B layan baby dengan teruk, b tak tau kenapa b jadi macam ni. Tapi b stil sayangkan baby, b cintakan baby. Mi cintakan Ayu seorang.” Mata Hakimi digenangi air begitu juga Ayu.

“B jangan tinggalkan baby tau. Ayu pun cintakan Mi sorang.” Ayu hanya tunduk. Tidak sanggup dia menatap mata Hakimi. Memang dia sayangkan Hakimi. Perangai Hakimi sering sahaja tidak dapat diduga. Adakalanya dia terlalu baik. Pada waktu-waktu tertentu pula Hakimi akan menjadi seorang yang tidak mampu Ayu gambarkan sehingga Ayu merasakan cinta itu sudah pudar dan tidak mampu digilap semula.

Tanggapan buruk itu di buang jauh-jauh oleh Ayu. Dia akan terus setia bersama Hakimi. ”B..Yang lepas tu biarlah lepas ye.. B dari mana ni? Mucuk je?” Ayu cuba bergurau disebalik kesedihan itu menggunakan perkataan yang kebudak-budakannya.

”B dari Seremban. Rindu kat baby terus b datang sini. Sampai tadi pukul 4 lebih. Tu yang tidur kat dalam kereta je.”

“Oh yeke?” Ayu sekadar mengiyakan sahaja.

”Yup. Ni b busuk-busuk pun still ada orang sayang tau!” Hakimi tersenyum dan matanya menjadi sedikit sepet.

”Tak payahlah nak buat muka Umizaru tu.” Ayu tersenyum manja memandang Hakimi. Umizaru merupakan watak di dalam sebuah cerita jepun. Hakimi tidak pula pernah mengetahui mengenai lelaki jepun yang dimaksudkan Ayu itu. Cuma semenjak Hakimi memberi gambarnya tidak memakai cermin mata dan matanya kelihatan begitu sepet kepada Ayu, Ayu menggelarnya begitu.

”Tak payah maknanya tak susah kan?”

“Mengadalah!” Ayu menarik muka berpura-pura merajuk dengan gurauan Hakimi itu. Dengan pantas Hakimi terus memujuk. Begitu mudah Ayu dipujuk. Gembira sungguh mereka pagi itu. Hakimi melihat semenjak Ayu duduk di sini badan Ayu sudah sedikit berisi. Pipi Ayu juga semakin tembam. Comel. Tidak seperti mula-mula mengenali Ayu. Tubuhnya begitu kurus. Jika dilihat dari jauh tidak ubah seperti budak sekolah.

”Baby, b balik dulu ya. Tak mandi lagi ni. Nanti petang lepas baby habis kerja b datang ye. Kita dinner kat luar ya? Lama tak jumpa baby. Rindu rasanya.”

“Okey, Baby tunggu. Balik mandi wangi-wangi tau! Ni baby nak jemur kain lepas tu nak pergi kerja.” Ayu berhasrat mahu menyambung kerjanya yang tergendala itu.

“Macamlah dia dah mandi.” Hakimi menjelirkan sedikit lidahnya lalu meminta diri dan memberi salam. Hakimi terus memandu meninggalkan Ayu yang sedang menyambung kembali kerjanya itu. Walaupun mereka sudah boleh meninggalkan dunia remaja dan sudah dewasa perangai mereka masih lagi kebudak-budakan. Dahulu Ayu bukanlah seorang gadis yang manja. Sejak kehadiran Hakimi dalam hidup Ayu, perangai Ayu berubah menjadi seorang gadis yang manja. Hakimi pula selalu memanjakan Ayu. Kemanjaan Ayu yang disemai Hakimi itu membuat Ayu semakin disayangi.

Hakimi sudah boleh menarik nafas lega. Dia berharap kesilapan itu tidak akan diulanginya lagi. Dia akan terus menyayangi Ayu selagi dia masih mampu bernafas. Dia akan menjaga Ayu selagi tuhan masih mengizinkannya. Dia mahu menjadi isterinya. Hakimi sering kali berdoa agar dpanjangkan jodohnya dengan Ayu. Dia tidak mahu kehilangan Ayu dan Hakimi tidak akan sesekali membiarkannya. Seluruh kepercayaan diberi kepada Ayu. Semuanya terserah kepada Allah. Hanya Dia yang menentukan. Manusia hanya mampu merancang. Hakimi tidak pernah merancang untuk terlalu cintakan Ayu. Dia tahu akibatnya. Entahlah, semua itu datang dengan sendiri.

No comments:

Post a Comment