Sunday, November 14, 2010

KU INGIN KAMU : BAB 23

Bab 23

Langit pada pagi itu begitu terang. Tidak mendung dan tidak panas. Cukup menenangkan. Di hadapan bangunan KSB Travel & Tours di Skudai di penuhi dengan ramai orang. Ada yang keluar masuk dengan urusan masing-masing. Kawasan tempat letak kereta juga amad terhad menyebabkan Hakimi meletakkan keretanya agak jauh dari bangunan itu.

Tiga buah bagasi dikeluarkan dari but kereta Hakimi. Puan Rahimah dan Encik Ismail sedang berada di dalam pejabat agensi pelancongan. Adilah dan Afiqah turut sama membantu Hakimi mengangkat bagasi tersebut. Dalam masa dua minggu ini Hakimi akan berseorangan di rumahnya. Sempena cuti sekolah sepanjang tiga minggu ini ibu bapanya beserta adik-adiknya akan mengerjakan umrah. Agensi tersebut menyediakan pakej mengerjakan umrah dengan harga yang berpatutan membuatkan Hakimi terus menawarkan kepada ibu bapanya. Afiqah dan Adilah turut pergi bersama. Ibu bapanya memang sudah lama berhajat hendak mengerjakan haji namun masih belum punya rezeki untuk ke sana walaupun wang simpanan sudah lama mencukupi.

"Abang Mi, kenapa Mal tak boleh ikut diorang?" kesedihan terpancar di wajah Mal kerana tidak dibenarkan untuk ikut sama bersama ahli keluarganya yang lain. Dia akan ditinggalkan bersama Akma sepanjang dua minggu pemergian ibu bapa dan kakak-kakaknya.

"Mal kecik lagi. Lain kali Mal pergi dengan Abang Mi ya? Lepas hantar diorang kita pergi rumah Kak Akma. Mal duduk dengan Kak Akma tau. Kat sana ada Luqman. Mal suka baby kan?" Hakimi cuba memujuk adiknya itu. Hakimi terpaksa menghantar Mal ke rumah Akma kerana Hakimi sendiri sibuk dengan kerja dan tiada masa untuk menjaga Mal.

"Mal, Kak Dila pergi dua minggu je. Mal jangan risau ye dan jangan nakal-nakal. Lain kali tunggu Mal besar sikit baru kita pergi sama-sama ya?" Adilah turut sama memujuk Mal.

Setelah bersalam-salaman Puan Rahimah, Encik Ismail, Afiqah dan Adilah menaiki bas yang disediakan tersebut untuk ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai. Tidak pernah Hakimi dipisahkan dengan ibu bapanya sejauh itu walaupun hanya dalam tempoh masa dua minggu sahaja. Hatinya sebak seperti Mal. Hakimi dan Mal melambai-lambaikan tangan sewaktu bas mula bergerak meninggalkan perkarangan itu. Hakimi hanya mampu mengiringi dengan doa agar mereka selamat pergi dan pulang.

Sebelum Puan Rahimah dan Encik Ismail berangkat, mereka telah berpesan agar menjaga adik-adiknya sebaik mungkin dan jangan mengharap pada Akma sahaja. Hakimi mengiyakan sahaja pesanan ibu bapanya itu. Mal sudah berusia sembilan tahun dan sudah pastinya dia boleh menjaga dirinya sendiri.

"Kita pergi pejabat Abang Mi dulu ya lepas tu baru kita pergi Melaka, rumah Kak Akma. Mal nak makan dulu tak?"

"Tak nak la." Mal seolah-olah merajuk kerana ditinggalkan bersama Akma dan tidak dibawa bersama ibu dan bapanya.

Hakimi memandu menuju ke pejabatnya di Taman Tampoi Utama. Kemudian dia naik ke pejabatnya di tingkat atas. Mal hanya membuntuti ke mana Hakimi pergi. Sebaik sahaja sampai di pejabatnya, Hakimi terus mendapatkan Lina yang sedang menyiapkan kerja-kerjanya.

"Lina, siap-siap cepat. Kejap lagi ikut Mi keluar ya? Ada hal sikit." Hakimi meninggalkan pesanan itu dan terus berlalu menuju ke pantri tanpa menunggu jawapan dari Ayu.

Hakimi membuat secawan air kopi panas untuk dirinya dan secawan air milo ais untuk Mal. "Mal, nak biskut tak?" Namun Mal hanya menggeleng sahaja.

"Dah lah, ibu pergi kejap je. Mal jangan la nak sedih-sedih je.Mal doakan ibu dengan ayah selamat ye?" penat rasanya hendak memujuk adiknya itu. Mungkin esok dia akan lupa kesedihannya itu.Setelah menghabiskan minuman itu Hakimi terus mengajak Mal keluar dari situ dan menuju ke meja Lina.

"Lina, tak siap lagi ke?" Lina mendongak sedikit.

"Belum lagi. Mi nak fail ni esokkan? Banyak ni. Kejap ye?"

"Dahlah, sambung lain kali. Lina hantar lambat sikit pun tak pe. Jom lah. Mi tunggu dekat kereta. Cepat sikit."

Hakimi terus turun keluar dari pejabatnya dan menuju ke keretanya. Pandangannya tertumpu pada seorang gadis yang baru keluar dari sebuah kereta yang diletakkan tidak jauh dari tempat letak kereta Hakimi. Ayu? Pandangan Hakimi tidak berkedip. Malah Hakimi turut cuba mendekati gadis yang menarik pandangannya. Tidak sangka dalam masa setahun lebih Ayu sudah berubah. Gayanya dan caranya sudah berubah. Gadis itu kelihatan lebih cantik sekarang. Mungkin dia lebih bahagia sekarang.

Hakimi mendekati gadis itu dan terus menyapanya. "Assalamualaikum, Ayu?" gadis yang sedang berjalan menuju ke kedai perabot tidak jauh dari pejabat Hakimi menghentikan langkahnya dan terus memandang tepat ke wajah Hakimi.

"Waalaikumsalam. Ye Encik..?" salam itu dijawabnya.

"Ayu kan?" Hakimi menjawab soalan gadis itu dengan soalan lagi.

"Ayu? Encik, awak silap orang kot. Nama saya Balqis. Kita pernah jumpa kat mana-mana ke?"

"Oh, Cik Balqis, sorry saya salah orang. Muka awak macam kawan saya." air muka Hakimi terus berubah lalu Hakimi mengeluarkan dompetnya dan kad namanya dikeluarkan dari dompet itu kemudian di hulur kepada Balqis. "Name card saya. Hakimi Ismail. Maaf ya ?"

"Puan Balqis sebenarnya, bukan Cik. Takpe lah. Encik Hakimi. Saya kena pergi dulu ya. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam." Hakimi menjawab di dalam hati sambil melihat Balqis berlalu pergi.

Hakimi berpatah balik ke keretanya. Lina dan Mal sudah lama memerhatikan gelagat Hakimi itu.

"Kalut sangat jumpa bekas kekasih lama sampai Mal pun Mi tinggalkan kat sini. Nasib baik Lina turun cepat tadi." Lina memerli perangai Hakimi yang agak gelabah sebentar tadi.

"Muka Ayu tapi bukan Ayu."terang Hakimi. "Mal duduk belakang tau." kemudian Hakimi membuka pintu kereta dan masuk ke dalamnya. Lina duduk di sebelah tempat duduk Hakimi.

"Lina tak faham la Mi. Macam mana tu?"Lina semakin berminat dengan ayat yang baru sahaja dikeluarkan dari mulut Hakimi tadi.

"Lina, kita nak pergi Melaka ni. Hantar Mal dekat rumah adik perempuan Mi. Akma nama dia. Lepas tu kita pergi Seremban tengok site dekat sana."Hakimi cuba mengubah topik. Enjin dihidupkan dan kereta Hakimi meluncur laju meninggalkan tempat itu.

"Okey. Try tukar topik ye?"

"Malas nak fikir la."

"Yela. Lina tak tanya lagi. Kalau nanti Mi nak story, anytime Lina boleh dengar."

"Thanks, Ayu."

"Nama saya Nur Amalina. Boleh panggil Lina. Bukan Ayu ye Encik Hakimi."Lina menegur Hakimi yang telah tersilap memanggil namanya. "Mi macam sasau je? Rileks okey? Jangan fikir sangat. Baik Mi ingat Tuhan. Berzikir ke atau apa-apa yang patut. Pasal agama ni Lina tak tahu sangat.?

Hakimi hanya mendiamkan diri. Matanya menjeling cermin sisi di keretanya melihat perbuatan Mal di tempat duduk belakang. Mal membisu sahaja seperti tadi dan memandang pemandangan di luar kereta. Kasihan pula melihat adiknya.

Hakimi berhenti sebentar di stesyen minyak berhampiran tol Skudai untuk mengisi petrol. Setelah mengisi petrol Hakimi masuk ke kedai serbaneka di stesyen minyak itu untuk membeli makanan ringan untuk mereka dan sekotak rokok untuk dirinya.

Kemudian Hakimi meneruskan perjalanannya ke Melaka melalui Lebuhraya Utara Selatan. Pemikirannya menjadi serabut tiba-tiba semenjak insiden sebentar tadi. Insiden tadi mengingatkan Hakimi tentang Ayu yang sudah jarang kali bermain di mindanya. Cermin tingkap keretanya diturunkan dan Hakimi mengeluarkan sebatang rokok dan menyalakannya. Rokok itu di sedut dalam-dalam dan kemudian asap yang terkumpul dalam paru-parunya dilepaskan. Terasa kekusutan itu hilang sebentar.

"Mi, kenapa smoke dalam kereta? Busuk lah. Kesian Lina dengan Mal. Sesak nafas tau dengan asap tu."

"Sorry Lina. Mi tiba-tiba stress. Cermin tingkap tu buka luas-luas biar angin masuk."kasihan pula melihat mereka berdua terpaksa menerima kesan asap rokoknya. "Mal duduk belakang Kak Lina. Tak kena asap sangat. Cermin tingkap jangan lupa turunkan.?

Mal berpindah tempat tanpa berkata apa-apa. Dalam fikiran Mal pula asyik mengingati ibu dan bapanya.Mal melayan perasaannya lama kelamaan dia tertidur di tempat duduk belakang dan tersedar tatkala Hakimi berhenti untuk rehat di R&R Pagoh. Perutnya terasa lapar pula.

"Abang Mi. Makan tengah hari kat sini la. Mal dah lapar." Hakimi tersenyum memandang adiknya itu.

"Okey. Abang Mi pun dah lapar ni."

"Cepatlah Mi. Lina nak makan jugak."

"Eh. Tak ajak dia pun." Hakimi menjelirkan lidahnya sedikit memandang Lina. Lengan Hakimi dicubit manja oleh Lina dan Hakimi berpura-pura mengadu kesakitan lalu ketawa. Mal juga turut ketawa melihat perlakuan Hakimi dan Lina.

Hakimi membuka jaketnya dan ditinggalkan di dalam kereta. Bahang tengah hari itu membuat Hakimi terasa mahu menukar kemejanya kepada singlet sahaja. Mereka bertiga makan bersama-sama di situ. Mujur hari itu hari bekerja. Suasana di keedai-kedai makan di situ agak lengang. Mudah sahaja untuk mendapat tempat untuk makan.

Setelah makan mereka terus menuju ke Melaka. Perjalanan dari hentian R&R Pagoh dengan rumah Akma hanya mengambil masa satu jam setengah.

"Sempat lagi solat Zuhur kat rumah Akma."Hakimi menjeling ke arah jam di dashboard keretanya.

Hakimi meletakkan keretanya di hadapan rumah Akma. Mal pula terus meluru masuk ke rumah Akma. Mungkin teruja untuk berjumpa dengan Luqman lagi. Hakimi hanya memerhati kerenah adiknya itu dan tersenyum sendiri.

"Lina, jom masuk sekali."

"Takkan Lina nak duduk kat dalam kereta pulak? Mesti la ikut Mi."

"Manalah tau segan dengan Akma.?Hakimi membuka pintu untuk keluar tetapi pergerakannya terhenti sebentar.

"Lama ke kat sini?"

"Taklah. Mi nak tumpang solat sekejap lepas tu baring-baring dulu bagi hilang penat ni. Lepas tu kita pergi Seremban okey?"

Hakimi keluar dari kereta dan terus menuju ke rumah Akma. Setelah memberi salam Hakimi terus masuk ke dalam mendapatkan Akma. Lina hanya megekori ke mana Hakimi pergi. Dia tidak pernah kenal dengan Akma dan terasa begitu kekok dengan Akma. Setelah bersalaman Hakimi memperkenalkan Lina kepada Akma. Akma hairan ramai sahaja rakan-rakan perempuan Hakimi tetapi sampai sekarang masih belum berkahwin lagi. Kemudian Hakimi meminta diri untuk naik ke atas untuk solat.

"Mi, Lina pun nak solat jugak. Jadi Imam untuk Lina ye?"

"Boleh. Tapi Mi tak lah pandai sangat." Hakimi merendah diri. Sengaja mahu Lina berubah niat.

"Wah, macam suami isteri pulak kan? Lina, kalau takde telekung boleh ambil dekat bilik Akma. Abang Mi. Akma pun tak solat lagi ni. Kita solat jemaah sama-sama ya?" Akma turut mengajak Mal untuk tuut serta. Walaupun sudah berusia sembilan tahun Mal masih belum dapat mendisiplinkan dirinya dalam menjaga solat lima waktu. Jika tidak diingatkan pasti tidak dibuat.

Lina hanya tersenyum. Hendak membalas tidak terkeluar pula kata-kata itu dari mulutnya. Dia mengekori Hakimi menaiki ke tingkat atas. Setelah mengambil wudhuk Hakimi membentangkan sejadah untuk berjemaah bersama sementara menunggu Lina, Akma dan Mal bersiap.

Hakimi terpegun dengan apa yang baru sahaja dilihatnya di muka pintu itu. Lina bertambah cantik bila bertelekung. Setelah semua sudah siap Hakimi mengimamkan mereka untuk solat zuhur pada hari itu. Sudah lama rasanya Hakimi tidak memikul tanggungjawab itu. Usai sahaja solat Hakimi tidak lupa untuk berwirid paling ringkas.
Setelah habis berdoa Hakimi bersalaman dengan para jemaahnya kecuali Lina. Tidak puas rasanya melihat Lina dalam keadaan begitu. Sangat cantik ditambah pula dengan matanya yang bundar itu. Jika Lina memakai tudung pasti ramai lelaki beratur untuk mendjadikan Lina sebagai isteri.

Setelah itu Hakimi berbaring di atas katil di dalam sebuah bilik. Badannya terasa sedikit lenguh. Kemejanya dibuka untuk mengurangkan rasa panasnya. Walaupun kipas sudah dihidupkan namun bahang panas masih lagi terasa. Matanya terlelap sebentar.

"Mi, bangun Mi.?suara itu sayup-sayup didengarinya. Matanya dibuka sedikit. Lina berada di sisinya untuk mengejutkannya bangun dari tidur. "Dah pukul 2.30 petang. Nanti lambat pula sampai Seremban.?

Hakimi hanya mengangguk tanda faham. Tiba-tiba Hakimi menarik bajunya dan terus menutup sebahagian badannya. Baru dia sedar dia tidak berbaju. Malu rasanya dengan Lina dalam keadaan sebegitu. Lina tersipu-sipu dengan perangai Hakimi. Lina juga turut segan sendiri dengan perlakuan Hakimi.

Enjin kereta dihidupkan, dan Hakimi bersalaman dengan Akma dan Mal yang berdiri di hadapan pintu pagar rumah. Pipi Luqman dicium Hakimi berkali-kali. Luqman baru sahaja pandai berjalan. Sekejap sahaja masa berlalu dan Luqman sudah berusia setahun empat bulan.

"Kejap je Luqman dah besar. Luqman jaga mama elok-elok tau."Hakimi mengusap rambut Luqman perlahan-lahan. Luqman meronta-ronta dalam dukungan ibunya minta diturunkan. Rimas terus didukung ibunya.

"Abang Mi, hati-hati ya. Dah sampai Seremban bagitau Akma. Sampai Johor bahru pun bagitau lagi." pesan Akma. Risau dengan keselamatan Hakimi. Jika ibu bapanya di rumah tidaklah dia risau.

"Yelah. Jaga Mal elok-elok. Jangan lupa suruh dia belajar. Kalau dia asyik main game PSP tu nanti Akma rampas je. Abang pergi dulu."

"Pandailah Akma uruskan Mal nanti. Em.. Lina, tengok-tengokkan Hakimi ya? Kalau dia nak mengurat kamu bagitau akak ya?" Akma meninggalkan pesan buat Lina yang sedari tadi hanya berdiam diri. Segan agaknya. Hanya senyuman manis terukir dibibir Lina.

Hakimi dan Lina masuk ke dalam kereta. Gear dimasukkan dan pedal minyak. Kemudian kereta itu terus meluncur pergi meninggalkan perkarangan rumah Akma.

"Lina nanti kita bermalam dekat Seremban ya? Lepas kita pergi site Mi hantar Lina balik rumah mama Lina. Nanti Mi check in kat mana-mana hotel." Hakimi memulakan perbualan.

"Balik esok kan?"

"Tak lah. Kita stay sana seminggu. Kita kan tengah honeymoon. Takkan sehari je kat sana kan?"

"Tengok tu. Main-main ya? Suka sangat dengan loyar buruk dia." Lina mula memuncungkan sedikit mulutnya. Hakimi hanya tersenyum sendiri berjaya mengusik Lina.

"Em.. Lina nak tau tak? Tadi masa Lina pakai telekung cantik sangat tau." Lina terus mengalihkan pandangannya keluar tingkap. Cuba menyembunyikan senyumannya. Tersa kembang apabila di puji begitu.

"Takdelah. Biasa je Mi."Lina cuba untuk menidakkannya. "Mama dah rasanya Lina tak pakai telekung. Solat pun dah lama Lina tinggal."

"Tapi tadi Lina dah solat kan? Teruskan. Dulu Mi pun lebih kurang macam Lina jugak. Cuma waktu dulu Mi tengah frust menonggeng Mi mengadu dekat Allah. Mi start cukupkan solat lima waktu. Mi rasa tenang sangat. Lepas tu Mi terus berazam untuk terus taubat. Mi dah tak larat nak teruskan dengan hidup macam dulu. Mi leka dengan dunia ni."

"Wah, dah macam ustaz la boss Lina ni."

"Lina nak tau tak ada something yang sebelum ni ada depan mata Mi tapi Mi tak pernah rasakannya. Mi memang boleh mengaji tapi sebelum ni Mi tak rasa apa-apa. Lepas Mi taubat. Mi baca Al-Quran betul-betul. Lepas tu Mi peluk Al-Quran tu. Mi tak pernah rasa bahagia macam ni. Indah sangat. Susah nak digambarkan. Lepas tu Mi tak boleh kalau sehari tak mengaji. Nanti Mi rindu."suara bagaikan tersekat-sekat. Seolah-olah terharu dengan apa yang dirasainya itu.

"Mi. Lina tak pernah macam tu. Solat pun tinggal lagikan nak mengaji. Tak reti la Mi. Doakan Lina berubah ya Mi?"Lina berharap dapat merasai apa yang dirasai Hakimi. Dia tidak seperti Hakimi. Walaupun Hakimi tersilap langkah tetapi masih dikelilingi orang-orang yang kuat dalam pegangan agama. Tidak seperti dirinya.

"Lina kalau tak reti nanti Mi boleh bawak jumpa ibu. Ibu boleh ajar Lina. Itu pun kalau Lina nak la."

Hakimi berharap agar Lina juga mampu merasai apa yang dirasainya. Cinta kepada Allah itu lebih bermakna dari cinta yang tidak kekal yang selalu wujud di dunia ini. Hanya itu yang Hakimi berharap. Dia menyesal mencintai sesorang itu dengan sepenuh hatinya. Sepatutnya cinta itu hanya untuk Yang Maha Esa. Janji yang diberikan Allah adalah benar. Tidak seperti janji yang dibuat manusia. Janji yang boleh diingkari bila-bila sahaja.

No comments:

Post a Comment