Saturday, November 6, 2010

KU INGIN KAMU : BAB 14

Bab 14

 Malam itu Encik Ismail tidak sempat bertemu dengan Ayu. Dia hanya mendengar dari mulut isterinya, Puan Rahimah. Afiqah pula sibuk bercerita mengenai Ayu. Macam-macam didengarinya. Kalau Afiqah pulang ke rumah pasti mulutnya yang kepoh bercerita macam-macam. Anak-anaknya yang lain tidak pula berkelakuan seperti itu. Mujur Afiqah sudah naik ke biliknya. Dapatlah Encik Ismail menontot televisyen bersama isterinya dengan tenang.
 “Imah, awak tengok lah anak awak tu. Dia seorang sahaja kat rumah ni dah macam kenduri abang rasa.” Tegur Encik Ismail kepada Puan Rahimah. Sebenarnya dia seronok jika anak-anaknya berada disisinya. Jika tidak sunyi sahaja rumahnya. Hakimi pula tidak lekat di rumah. Tambah pula sekarang Hakimi sedang mengendalikan projek di Seremban. Jarang sekali dia balik. Mal pula hanya berada di rumah pada waktu malam. Pulang sahaja dari sekolah jam 5.00 petang dia akan terus keluar ke padang permainan untuk bermain bersama-sama teman-temannya. Tinggal Encik Ismail bersama Puan Rahimah di rumah.
 “Sekurang-kurangnya rumah kita ni tak lah sunyi. Ada jugak teman kita. Nasib baik lah Afiqah tak macam Hakimi. Hakimi pantang duduk di rumah. Punggungnya gatal sangat asyik nak merayau.” Macam-macam kerenah yang terpaksa dihadapi Puan Rahimah. Namun apabila anak-anaknya sudah meningkat dewasa tidak lah di risaukan sangat. “Hakimi waktu dia belasan lagi teruk. Merayau kadang-kadang sampai ke subuh. Mujurlah dia takde terlibat dengan benda-benda tak elok.”
 Puan Rahimah risau dengan anak-anaknya terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral. Itu apa yang di hadapannya. Di belakangnya tidak pula dia mengetahui apa yang dibuat anak-anaknya.
 “Nama pun lelaki Imah. Saya pun dulu lebih kurang macam tu. Tak boleh nak duduk diam. Bila dah tua ni, penat. Tak larat dah nak merayau-rayau lagi.”
 “Zaman muda kita dengan zaman muda sekarang tak sama bang.” Tambah Puan Rahimah lagi.
 “Lebih kurang je, Imah. Pokok pangkalnya iman. Kalau iman kuat segala perkara tidak baik boleh dihindari.” Encik Ismail menjelaskan. “Awak jangan risau sangat. Anak-anak kita dah besar. Tinggal Mal sahaja yang hendak diawasi selalu. Akma ada telefon awak? Lama dah dia tak balik.”
 “Semalam dia ada telefon. Bertanya khabar semua. Dia pun tunggu suaminya kalau nak balik sini. Suaminya selalu sibuk. Entah apa yang disibuknya.” Rindu Puan Rahimah pada anak keduanya itu. Hal itu turut dirasai Encik Ismail. Sudah tiga bulan mereka tidak menjenguk Puan rahimah dan Encik Ismail.
 “Lama sungguh rasanya. Sejak raya hari tu mereka tak balik lagi. Akma bersalin bila, Imah?” Sewaktu raya hari itu perut Akma sudah mebuyut. Tidak sabar rasanya Encik Ismail hendak menimang cucu. Abang-abangnya Encik Ismail sudah ramai cucu. Kini hanya menunggu giliran Encik Ismail sahaja.
 “Entahlah bang. Tak silap saya bulan Januari ataupun Februari. Kadang-kadang kita tak boleh jangka. Macam tak sabar je bang?”
 “Memang tak sabar. Cucu pertama. Kalau nak harapkan Hakimi. Asyik tunggu je. Kahwinnya pun tidak. Sibuk dengan kerja je. Ayu tu saya tengok elok sangat. Dia dengan Hakimi memang sepadan sangat.”
 Encik Ismail sudah penat menasihati Hakimi. Setiap kali perkara itu dibawa ke tengah pasti jawapan yang sama akan keluar dari mulut Hakimi. Belum bersedia. Kalau tidak mencuba sampai bila dia akan tetap tidak bersedia.
 “Saya pun rasa macam tu jugak,bang. Sepadan sangat mereka berdua. Risau saya dengan Hakimi tu. Tunggu lama-lama kang di sambar buaya. Dia juga yang ternganga nanti.”
 Televisyen di hadapannya tidak lagi menarik minat mereka berdua. Mereka sibuk membincangkan masa depan anak-anaknya. Tidak lama kemudian Afiqah turun ke bawah dan duduk di sofa berhadapan ibu dan ayahnya. Lantas Afiqah mengambil remote control dan menukar siaran televisyen.
 “Fiqa dah habis belajar?” soal Puan Rahimah.
 “Belum lagi bu. Baru satu jam Fiqa study. Rehat kejap.”
 “Ayah harap semester ni dapat anugerah dekan lagi ya? Ayah selalu doakan untuk anak-anak ayah.” Encik Ismail memberikan kata-kata semangat untuk Afiqah. Disebalik perangai Afiqah yang banyak mulut itu, dia selalu memberikan prestasi yang memberansangkan di dalam pelajaran. Buktinya sepanjang dua semester lepas Afiqah mampu memperoleh anugerah dekan. Encik Ismail dan Puan Rahimah bangga dengan anaknya itu.
 “Semester ni agak berat la ayah. Fiqa pun pening.” Afiqah cuba memberi alas an. Namun tidak dinafikan setiap semester mata pelajaran yang diambil akan bertambah susah.
 “Biar pening sekarang Fiqa. Jangan kamu pening pada masa depan. Belajar bersungguh-sungguh.”
 Afiqah akan sentiasa mengingati pesanan kedua ibu bapanya. Dia akan belajar bersungguh-sungguh. Melihat kesenangan Hakimi, memberinya semangat untuk terus memajukan dirinya. Dia akan terus mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pensyarah. Di kampusnya dia memilih bidang Pengajian Al-Quran dan Sunnah. Dia ingin mendalami lebih mengenai agama dan dia akan menyampaikannya pada generasi akan datang. Dahulu minatnya sejak kecil adalah menjadi seorang doctor. Namun apabila berada di sekolah menengah agama minatnya bertukar. Dia berhasrat untuk menjadi pendidik. Dia mahu membantu semua orang. Dia ingin menyampaikan ilmu-ilmunya kepada semua orang. Sama seperti ibunya duhulu. Puan Rahimah dahulu mengambil upah mengajar anak-anak jirannya mengajar mengaji. Sejak berpindah ke Johor Bahru, Puan Rahimah tidak lagi mengajar seperti dahulu.
 Kebanyakan penduduk di kawasan itu adalah beragama bukan Islam. Segelintir sahaja penduduk beragama Islam tinggal di situ dan anak-anak mereka belajar dengan seorang ustaz di surau.
 Puan Rahimah rindu sewaktu dia berada di rumah lamanya. Walaupun di sana rumah mereka agak kecil berbanding sekarang namun jiran-jiran di sana lebih ramah dan Puan Rahimah seronok tinggal di sana. Di kawasan kejiranan yang baru penduduk di sini kurang bergaul. Kebanyakannya sibuk dengan urusan kerja mereka. Kadang-kadang sampai ada yang tidak tahu samaada rumah disebelah berpenghuni atau tidak. Hakimi membeli rumah ini setahun yang lepas dan Hakimi mengajak seluruh keluarganya berpindah sekali. Hakimi tidak mahu tinggal seorang diri di sini. Bosan katanya. Tetapi rumah ini bukan seperti rumahnya. Hakimi juga jarang berada di rumah. Tambahan pula semenjak mendapat kerja di Seremban. Dalam seminggu, dua atau tiga kali sahaja di rumah. Puan Rahimah tidak dapat membayangkan bagaimana nasib isteri Hakimi kelak.

No comments:

Post a Comment