Sunday, November 7, 2010

KU INGIN KAMU : BAB 21

Bab 21

Langit pada waktu malam itu kelihatan begitu dengan kehadiran bulan mengambang pada malam itu. Suasana pada malam itu agak sunyi sekali sekala diselangi deruman enjin kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu. Di hadapan sebuah rumah di Bandar Baru Uda itu kelihatan asap berkepul-kepul di hembus keluar dari paru-paru melalui mulut seorang pemuda. Setelah asap itu diyakini habis keluar mulutnya menyedut kembali asap penyebab kanser itu.

”Hisap rokok macam orang nak mampus!” tegur Joe.

“Asap yang keluar ni keluar bersama-sama masalah aku.” dengan menghisap rokok Hakimi merasakan sedikit ketenangan dalam dirinya. Bohongan itu memang dipercayai para golongan perokok. Darah di dalam otak akan terhenti sebentar sekaligus mengurangkan perokok berfikir dan mereka akan berasa sedikit tenang. Itulah yang di rasai Hakimi. Dia tahu masalah tidak akan pergi selagi tidak di hadapinya.

“Lu agak-agak la nak sedih. Lu hisap rokok macam ni sampai sekarang lu dah sakit belum tentu dia nak balik. Lu mati lagi dia suka. Perempuan tak pandang lelaki macam ni. Lu sedih-sedih nak mampus kat sini ada dia ingat kat lu? Dia seronok-seronok dengan lelaki tu lu nak sedih-sedih kat buat apa?”

”Kau tak faham Joe. Aku sayang gila dekat dia.” Hakimi masih lagi tertahan-tahan perasaanya itu. Bera sungguh hendak diluahkan kepada sahabat baiknya itu. Hakimi berkenalan dengan Joe semenjak dari sekolah rendah lagi. Sehingga ke hari ini mereka masih lagi berkawan rapat. ”Aku rasa nak bunuh je mamat poyo tu.”

”Apa gila kau? Kau fikir masa depan kau. Takkan sebab perempuan kau nak kalah. Kau nak habiskan hidup kau macam ni.” Joe tahu itu bukan kerja susah untuknya. Kematangannya berfikir mampu menghadapi masalah remeh seperti itu. Pengalamannya dikecewakan perempuan bukan sekali dua. Sudah berkali-kali.

”Lu tak tau gua kena lagi teruk? Fiza tu bukan setia pun dengan gua. Entah berapa banyak jantan yang melekat dengan dia. Takkan gua nak bunuh semuanya? Banyak lagi kerja gua nak buat. Perempuan bukan satu dalam dunia ni. Lagi ramai dari lelaki. Silap-silap dapat isteri sampai dua tiga orang. Sekarang ni lu tak nampak lagi. Allah tu Maha Adil, Maha Mengasihani. Maha Pemurah. Ada hikmah semua ni.”

”Pandai kau bersyarah sekarang kan?” Terasa lega sikit diceramah Joe. Joe kembali mengingatkan Hakimi tentang cara-cara melupakan perempuan yang dirasakan tidak boleh lekang dari ingatannya. Dahulu Hakimi pernah melakukan cara ini. Memang sungguh berkesan. Malam itu otak Hakimi dibasuh habis-habisan oleh Joe. Hakimi bangga punya kawan seperti Joe. Sangat kuat.

”Lu kena ingat. Lu ada karier. Banyak lagi perempuan nak kat lu. Lu jangan sebab perempuan lu nak hancurkan karier lu. Perempuan ni senjata syaitan yang nak hancurkan kaum Adam.” Kata-kata Joe memberi Hakimi lebih semangat untuk kembali meneruskan kerjayanya itu yang mungkin sekarang ini sudah sebulan tidak terjaga dan tidak terkawal. ”Duit lu dah cukup?”

Hakimi masih ingat perjanjiannya dengan Joe. Empat tahun lepas Hakimi dan Joe pernah merancang untuk menjadi rakan kongsi dalam perniagaan yang mereka mahu bina. Hakimi meminta Joe mengumpul simpanan sebanyak Rm30 ribu untuk membuka perniagaan mereka bersama.

”Duit tu ada memang ada. Duit simpanan tetap aku ada dalam RM20 ribu lebih je. Yang lain aku simpan dalam akaun company aku. Tak ingat aku berapa. Ada lagi cek yang aku tak transfer lagi.” Hakimi tidak mampu menepati janji yang dijanjikan.

“Lu punya banyak projek takkan simpanan lu sendiri baru ada macam tu?” Joe sendiri pelik dengan Hakimi. Projek yang dikendalikan oleh Hakimi bukan sedikit. ”Gua tak kisah. Gua ada RM60 ribu lebih je. Double gua bagi.”

”Kalau nak ikutkan memang banyak yang aku dah keluarkan. Aku beli rumah, kereta aku, sara adik-adik dengan mak bapak aku lagi. Tahun lepas aku ada keluarkan RM30 ribu. Aku belikan Ayu kereta.” menyesal pula Hakimi membazir demi oang yang tidak menghargainya.

”Lu memang bagus! Sebab perempuan lu bagi semua dekat dia. Apa lu dapat? Ada dia hargai lu?” marah juga Joe pada Hakimi yang sanggup berhabis segala-galanya demi perempuan yang tidak tahu mengenang budi itu.

”Cerita lama la Joe. Aku tak sangka semuanya nak jadi macam ni.”

”Lama? Gua baru dengar tadi tak sangka pulak cerita tu dah berlalu sepuluh tahun yang lepas. Takpelah Mi. Gua tak kisah. Sejak bapak gua meninggal. Company dia serah kat gua. Gua dah rilek je sekarang, Biar gua tolong bina ’empayar’ lu.” tak disangka Joe sebaik itu. Bahunya terasa baru digalas sebuah tanggungjawab yang akan merubah hidup Hakimi. Hakimi sudah semakin bersemangat.

Malam itu Hakimi dan Joe sudah sepakat untuk memajukan diri masing-masing ke peringkat lebih tinggi. Hakimi nekad malam ini dia akan menghabiskan segala-galanya. Ayu tidak mampu membuatnya gagal! Terima kasih Ayu! Kau buat ’empayar’ aku lebih meluas! Aku tidak akan kalah.

”Ya Allah, kalau Ayu itu jodohku kembalikan dia kepadaku. Kalau dia memang bukan jodoh untukku kau patahkan hatiku ini dan bantu aku melupakannya. Aku mengaku aku masih cintakan dia dan aku masih menyayanginya. Ya Allah, kau lindungi Ayu dari perkara tidak baik. Berilah dia kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.”

”Ya Allah sesungguhnya aku hamba-Mu, anak dari Hamba Mu (lelaki), anak dari hamba Mu (perempuan), Nasibku di tangan Mu, berlaku bagiku ketetapanMu, adil bagiku qadha’ Mu, aku memohon kepada Mu, dengan segala asma-Mu yang Engkau miliki, yang Engkau namakan diriMU dengannya atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada seorang dari dari mahluk ciptaanMu, atau yang sentiasa berada di sisiMu, Hendaklah Engkau jadikan Quran pewangi hatiku, cahaya dadaku, pelenyap duka laraku dan penghapus kesusahanku.”

Usai berdoa selepas solat itu Hakimi berharap sinar bahagia akan muncul sekaligus mengeluarkan dia dari kesengsaraan ini.

Hari berganti minggu,minggu berganti bulan. Hakimi lebih tenang sekarang. Rezekinya mencurah-curah masuk. Empayarnya juga bertambah meluas. Anak tangga yang dinaikinya semakin hari semakin tinggi.

‘Empayar Megah’ milik Hakimi kini semakin terkenal. Dahulu hanya mengambil kerja-kerja ubahsuai dan sebagai subkontraktor untuk kerja-kerja milik kontraktor-kontraktor gred G7. Kini apabila terkenal semakin banyak kerja-kerja yang di sub kepada Empayaar Megah. Empayar Megah turut mempunyai kilang sebagai pembekal bahan binaan. Tidak cukup tangan Hakimi menguruskannya bersama Joe. Joe pula sudah punya dua buah syarikat. Yang pertama adalah waris syarikat milik arwah ayahnya dan yang kedua ialah perkongsian dengan Hakimi.

Tidak mereka sangka impian sewaktu mereka berusia dua puluh tahun kini menjadi kenyataan. Dahulu mereka hanyalah seperti remaja lain yang hanya mengejar keseronokan dunia. Pengalaman mengajar mereka berdiri lebih teguh dan megah. Megah seperti Empayar Megah! Megah bukan bermakna mereka terlalu membanggakan kejayaan mereka. Megah yakni tersergam indah disamping empayar yang semakin meluas di sekitar Johor. Tidak lama lagi mungkin ke seluruh pelosok Semenanjung Malaysia. Cita-cita sebenar Hakimi masih belum tercapai. Dia mahu lebih berjaya. Tiada yang mustahil. Kalau orang lain boleh melakukannya mengapa pula tidak bagi Hakimi? Hakimi akan terus berusaha.

”Encik Hakimi, sekarang kerja-kerja untuk second floor sudah siap 80 peratus. Mungkin dalam minggu depan kita start kerja untuk third floor.”

“Okey. Saya rasa kita dah agak terlewat dari jangkaan yang disediakan. Saya minta awak uruskan sebaik mungkin. Seelok-eloknya awak tambah pekerja sahaja. Kamu tahu tak main con sudah call saya banyak kali beri peringatan?” Jelas kedengaran suara Hakimi dari telefon itu. Kerja-kerja yang diserahkan kepada sub kontraktor itu kini tidak mampu menyiapkan kerja-kerja mengikut masa yang ditetapkan. Pihak kontraktor utama sudah memberi peringatan berkali-kali kerana kelewatan selama dua minggu. Tidak lama lagi mungkin memo dari pihak kontraktor utama akan sampai ke syarikatnya.

”Saya faham Encik Hakimi. Tak lama lagi saya bawa masuk lagi tujuh orang pekerja. Cuma ni sekarang saya nak order barang,barang untuk third floor. Frame, batu, simen, dan kapur.” alasan sama yang sering didengari Hakimi.

“Pasal barang kamu jangan risau. Saya dah handle semua tapi masalahnya, kamu yang buat masalah. Saya tak nak dengar alasan lagi. Saya nak dengar berita yang lebih baik. Okey?” Kalau diikutkan hati mahu sahaja ditengking lelaki itu. Tetapi kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah. Semua itu perlu ditangani dengan bijak. Hakimi tidak suka memarahi sesorang walaupun orang itu membawa masalah di dalam dirinya. Hakimi masih punya cara lain untuk di atasinya.

Hakimi menuju bersandar di kerusinya dan mengeluh sedikit. Skrin komputernya ditenung lama-lama. Lima buah tender kerajaan sudah cukup membuatnya pening kepala. Pihak kontraktor utama akan sentiasa menekannya. Yang lain pula masih terdapat masalah tersendiri namun tidaklah terlalu berat rasanya. Air mineral itu diteguknya sedikit.

”Hai,boss. Rileks nampak?” kelihatan seorang gadis sedang berdiri di hadapan pintu di bilik kerja Hakimi.

”Assalamualaikum.” Hakimi memberi salam. Agak tersinggung dengan perangai gadis itu yang sering menerjah ke ruang kerjanya.

”Waalaikumsalam. Macam perli je kan. Sorry main masuk je tadi.”

”Taklah, lain kali Lina ketuk pintu dahulu sebelum masuk. Hormat sikit. Mi kan boss.” Kemudian dia tergelak sendiri. Lina kini sudah bekerja dengan Hakimi. Lina tidak mahu bekerja dalam sektor kerajaan. Gaji juga tidak begitu lumayan berbanding bekerja dengan Hakimi. Padahal bekerja dalam sektor kerajaan memberi pelbagai keistimewaan pada dirinya. Sebenarnya, Lina hanya mahu sentiasa berada di sisi Hakimi selalu. Biarlah dia jauh dari keluarganya. Lina berharap suatu hari nanti Hakimi akan membuka juga pintu hatinya untuk Lina.

Selama ini Hakimi tahu Lina menaruh perasaan terhadapnya kembali namun Hakimi tetap tidak mahu menerimanya. Hakimi hanya mampu menganggap Lina sebagai sahabat sahaja.

”Mi, Lina nak keluar hantar katalog untuk water tank dengan roof tile kat main con. Diorang nak buat borang mockup untuk Jabatan Kerja Raya. Bos nak follow sekali?” borang itu memang perlu dihantar ke Jabatan Kerja Raya untuk diluluskan sebelum barang dihantar ke tapak binaan.

“Kalau Mi ikut Lina nanti kerja dekat sini siapa nak siapkan?”

”Tadi Lina tengok Mi macam tak sibuk je. Lagipun Lina malas nanti nak keluar isi petrol nak kena keluar duit sendiri lepas tu nak tunggu claim petty cash lambat pulak tu.” Lina mengomel sendiri. Mulutnya kemudian dimuncungkan sedikit. Hakimi mengaku memang gadis itu cantik tetapi tidak cukup kuat untuk mengetuk pintu hatinya yang sudah tertutup rapat itu. Hakimi masih menunggu Ayu sehingga ke hari ini. Sudah hampir setahun berlalu. Perasaan itu masih disimpan Hakimi hingga ke hari ini. Ayu mengajar Hakimi erti setia.

”Oh. Merungut ye? Nanti potong gaji baru tahu ya.” Hakimi terus mengusik Lina. Lina terus meminta diri berpura-pura merajuk. Lantas Hakimi terus mengejar Lina untuk turut keluar bersamanya. Kasihan pula sahabatnya itu. Lagipun Hakimi sudah terasa bosan untuk menyambung kerjanya. Lebih baik jika dia keluar dari terus terperap di dalam pejabatnya yang sentiasa melemaskan dengan bunyi mesin photostat, pekerja-pekerja yang mundar mandir di luar biliknya dan bermacam-macam lagi yang merimaskannya.

Mujur hanya seorang sahaja pekerjanya seperti Lina. Kalau semuanya seperti Lina mahu pengsan Hakimi rasanya. Hubungan mereka tidak seperti pekerja dengan majikan. Mungkin disebabkan mereka terlalu rapat, jurang itu dapat dipisahkan. Hanya dengan Joe, Lina terasa memang terdapat jurang besar. Joe pula tidak seperti Hakimi. Hakimi ke pejabat dengan memakai kemeja dengan slack atau jeans. Nampak lebih formal berbanding Joe yang kebiasaannya dengan t-shirt kolar bulat kemudian disarung jaket kulitnya. Kakinya sentiasa dibalut dengan jeans lusuh dan matanya sentiasa dihiasi dengan cermin mata hitamnya. Adakala Joe memakai singlet dan berseluar pendek. Cermin mata hitamnya tidak pernah dilupakan. Tiada siapa akan memarahinya. Hakimi pula tidak pernah kisah dengan penampilan Joe asalkan masih berpakaian.

”Gua low profile je.Geli gua nak pakai macam ahli keparat kat dalam tv tu.” memang itu menjadi prinsip hidup Joe. Ahli korporat pula dinamakan ahli keparat. Hakimi senang berurusan dengan orang seperti Joe. Segala-galanya dirasakan mudah.
Terima kasih Joe.

No comments:

Post a Comment