Saturday, November 6, 2010

KU INGIN KAMU : BAB 16

Bab 16
 Entah mengapa sejak akhir-akhir ini Hakimi sudah malas melayan kerenah Ayu. Kebanyakan masanya dihabiskan dengan bekerja. Berjumpa dengan Ayu juga sudah kurang. Sebelum ini seminggu sekali Hakimi pasti akan keluar meluangkan masa bersama Ayu. Semenjak Hakimi mendapat kerja di Seremban pula bertambah teruk. Perangai Hakimi juga sudah berubah. Dahulu dia akan berulang alik dari Seremban ke Johor Bahru dua kali seminggu. Namun sekarang seminggu sekali dan apabila Ayu mengajaknya keluar Hakimi akan mula memberi alasan kepenatan. Jika tidak Hakimi akan berkata sibuk dengan urusan kerja.
 Hubungan Ayu dan Hakimi juga semakin renggang. Pesanan ringkas yang dikirim Ayu juga semakin kurang kerana Ayu tahu Hakimi jarang sekali ingin membalasnya. Kadangkala pernah juga Hakimi mengatakan dia sudah bosan dengan perangai Ayu. Ayu juga kebiasaannya menghantar pesanan ringkas tanpa motif. Cuma sekadar untuk meluahkan rasa rindu. Panggilan dari Ayu juga kadangkala tidak mendapat layanan baik dari Hakimi. Ada masa tertentu Ayu akan dimarahi jika panggilan dari Ayu tidak kena pada masanya. Ayu terasa tidak diperlukan Hakimi lagi. Namun dia masih menyayangi Hakimi. Ada kalanya Hakimi akan melayannya sangat baik. Ayu sudah tidak mengerti apa di hati Hakimi.
 ”Ya Allah, apa yang sedang aku lakukan ini. Adakah kerana aku jemu dengannya aku harus melayannya begitu?” bisik hati kecil Hakimi. Dia tidak tahu apa yang sedang dibuatnya sekarang. Dia terasa seperti dia sendiri yang merobek-robek ikatan dua hati yang telah bersatu itu.
 ”Adakah aku sama seperti bekas kekasih-kekasih ku dahulu yang akan meninggalkanku setelah bosan melayani kerenahku? Adakah aku sedang cuba membalas dendam kepada orang yang tidak bersalah seperti Ayu? Aku cintakan Ayu. Tapi kenapa ini yang aku lakukan kepadanya? Ayu cuma merindui ku. Tapi aku tidak membalasnya rindunya. Adakah disebabkan Lina, cinta pertamaku dahulu membuat aku bertukar arah. Tidak! Lina hanyalah rakan. Aku juga tidak mempunyai perasaan terhadapnya. Ayu. Aku menyesal. Aku juga rindu padamu.Kenapa aku perlu mensia-siakan hubungan ini.Aku tidak akan curang dan aku akan terus setia mencintainya seorang.” Hakimi memujuk dirinya kembali.
Sudah lebih sebulan tidak berjumpa. Baru malam ini Hakimi merasakan bagaikan setahun dia tidak berjumpa dengan Ayu. Dia sedar hanya Ayu sahaja yang bertaktha di hatinya. Dia tidak mahu gadis sebaik Ayu menjadi milik orang lain. Lantas Hakimi mengambil telefon bimbitnya. Sekarang sudah masuk hari Jumaat. Sudah jam 12.30 tengah malam. Dilihat pesanan ringkas yang dihantar Ayu berbaur rasa kecewa di hatinya. Hakimi dapat merasainya. Malam itu terasa sangat sunyi dan sepi walaupun kebanyakan masanya disini diluangkan bersama Faizal dan Lina.
”B.. B asik bz je? Bby nak call pun kne marah.. Bby rindu sgt2 kat b T_T Lama dah kita xjumpa b..Lau bby nak call pun kne mara je.. Baik bby diam je.. B.. Gudnite.. Mimpi indah..” Pesanan ringkas itu dibaca Hakimi berulang-ulang kali sehingga Hakimi telah membuat satu keputusan. Keputusan itu muktamad!
 ”Imy2,3,4,5,6,7,8,9,10..byk2..infinity :’)” ringkas sahaja Hakimi membalas. Kasihan Ayu diperlakukan begitu.
Sepanjang Hakimi berada di Seremban dia menumpang di rumah sewa yang di sediakan Syarikat tempat Faizal bekerja. Hakimi tinggal bersama Faizal. Faizal juga yang pada mulanya mengajak Hakimi tinggal serumah dengannya. Sekurang-kurangnya Hakimi dapat mengurangkan kos untuk menyewa rumah sepanjang kerjanya di Seremban berjalan.
Rumah sewa itu juga ditanggung sepenuhnya oleh syarikat yang sama. Rumah itu dikongsi berdua oleh Hakimi dan Faizal sahaja. Tidak pernah berasa sunyi kerana setiap malam mereka akan melakukan aktiviti di luar pada waktu malam. Kadangkala Hakimi akan keluar bersama Lina mengisi kekosongan malam yang sepatutnya diisi bersama Ayu yang sentiasa merindui segala-gala tentang Hakimi.
Kini Hakimi sudah sedar kesilapannya sendiri. Perasaan itu tiba-tiba mengetuk sendiri pintu hatinya untuk sentiasa mengingati janjinya sepanjang bersama Ayu. Hakimi tidak mahu mungkir janji. Dia tidak akan mendustakan cintanya. Hakimi berkenalan dengan Ayu hampir lima tahun lepas melalui ruangan sembang sosial di internet.
Semakin lama mereka semakin rapat. Sudah bagaikan kawan rapat. Segala cerita dikongsi bersama. Sedih dan gembira Hakimi juga bersama Ayu. Walaupun waktu itu mereka tidak pernah berjumpa pernah berjumpa. Perasaan itu lahir tanpa dipinta. Setelah perasaan diluahkan, masing masing mengaku mereka memiliki perasaan yang sama. Ayu akhirnya menerima pelawaan Hakimi untuk menjadi kekasihnya. Setelah mereka bersama, banyak soalan dari teman-teman yang tidak mampu mereka jawab. ”Macam mana boleh kenal?” Soalan itu akan sentiasa dibiar tanpa jawapan.
Hakimi yang sedari tadi duduk di hadapan rumahnya melayan perasaannya kini melangkah masuk menuju ke biliknya. Hakimi berkemas-kemas. Mana barang yang hendak dibawa dimasukkan ke dalam beg. Beg itu itu kemudiannya dijinjing Hakimi menuju ke bilik depan. Kelihatan Faizal sedang leka bermain permainan video di komputer ribanya.
“Faizal, Aku gerak dulu.” Butang escape di papan kekunci di komputer ribanya ditekan. Terus Faizal memandang Hakimi yang sedang menjinjing beg ditangannya.
“Huh? Kau nak pergi mana malam-malam ni?” soal Faizal.
”Aku nak balik JB. Ada hal sikit. Kau tengok-tengok kan pekerja-pekerja aku. Lau ada masalah kau call aku.” Hakimi terus berlalu pergi menuju keretanya.
”Hati-hati Mi!” Faizal melaungkan suaranya. Risau pula dilihat Hakimi berperangai aneh malam itu. Tiba-tiba sahaja Hakimi mahu pulang ke Johor Bahru pada tengah-tengah malam begitu seorang diri. ’Hal’ itu juga tidak diberitahu. Mungkin Faizal tidak perlu tahu masalah peribadi Hakimi.
Hakimi terus memandu laju keretanya menuju ke Johor Bahru. Dia mahu Ayu! Ya. Dia mahu Ayu! Dia tidak mahu kehilangan Ayu. Menyesal membiarkan Ayu begitu. Sudah lama dia tidak bertemu Ayu. Menghubungi Ayu juga jarang sekali. Jika dibiarkan mungkin Ayu akan berubah hati. Tidak! Hakimi tidak mahu kehilangan satu-satunya Ayu yang terlalu dicintainya. Tiada Ayu yang kedua, mahupun yang ketiga.
 Minda Hakimi bercelaru. Dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh tergamak membiarkan Ayu begitu. Risau pula Hakimi apabila teringat kisah Ayu bersama jiran lelakinya di hadapan rumah dahulu. Hakimi masih menaruh kepercayaan terhadap Ayu. Dia yakin Ayu bukan seperti gadis lain.
”Tanpa dirimu,
Ku hanya manusia tanpa cinta,
Dan hanya dirimu yang bisa membawa surga dalam hatiku.
Ku ingin engkau menjadi milikku,
Aku akan mencintaimu,
Menjagamu selama hidupku
Dan aku kan berjanji hanya kau lah yang kusayangi,
Ku akan setia disini, menemani...”
Lagu Ku Ingin Kamu nyanyian kumpulan Romance mengiringi perjalanan Hakimi. Juruhebah di radio seolah-olah mengerti hati Hakimi. Air mata mula mengalir di mata Hakimi. Hakimi membiarkan ia kering sendiri. Dia bagaikan baru tersedar dari mimpi yang panjang.
 Stering keretanya digenggam kuat. Lalu Hakimi menyalakan lampu isyarat sebelah kiri. Lalu Hakimi memberhentikan keretanya di bahu jalan. Hakimi beristigfar berkali-kali menunggu emosinya sedikit reda. Jantungnya berdegup laju. Dia terasa seram sejuk bagaikan ada sesuatu yang berlaku.
 Di fikirannya hanya Ayu dan Hakimi terus berdoa kepada Allah agar dipanjangkan jodohnya bersama Ayu. Hakimi mahu berjumpa kekasihnya itu secepat mungkin. Dia harus meminta maaf atas kesilapannya. Kesabaran Ayu juga punya had. Ayu juga manusia. Dahulu Ayu pernah meminta untuk memutuskan hubungan kerana dia berperangai seperti itu. Kali ini Hakimi berharap semuanya akan kembali normal kembali. Setelah Hakimi merasa hatinya sudah sedikit tenang barulah dia meneruskan perjalanannya.
 Malam itu kenderaan juga kurang di lebuhraya. Dilihat lori-lori dan bas lebih laju dari keretanya. Bukan Hakimi tidak mahu memandu laju. Dia risaukan keselamatan dirinya. Menyesal pula rasanya Hakimi tidak berhenti di R&R Ayer Keroh tadi untuk berehat sebentar. Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Mata Hakimi sudah mula mengantuk. Matanya seperti dipaksa untuk ditutup.Matanya digosok-gosok dengan tangannya. Hujan pula sudah mulai membasahi bumi. Pada mulanya renyai-renyai sahaja. Kini bertukar lebat.
  Hakimi bagaikan tidak mampu bertahan. Namun digagahkan juga. Matanya ditutup sekejap-sekejap sekadar mahu mengurangkan rasa mengantuknya. Sekali lagi matanya ditutup sekejap. Sewaktu di buka matanya sebua cahaya merah melintas di hadapannya. Hakimi tidak pasti cahaya itu. Matanya kabur. Matanya dikelip beberapa kali. Ditambah pula dengan hujan lebat membataskan pemandangan matanya.
Sebuah lori trelar yang sedang menukar lorong memasuki lorong yang dilalui Hakimi. Terbeliak mata Hakimi kerana terkejut dengan apa yang berada di hadapan matanya. Objek itu terlalu besar dan mampu mengorbankan nyawanya. Situasi di hadapan matanya bagaikan tidak mampu disalurkan ke otaknya menyebabkan Hakimi seperti tidak mapu untuk berfikir apa yang perlu dilakukannya.
 Brek di kakinya ditekan kuat namun keretanya bagaikan tidak mahu berhenti. ”YA ALLAH!” Hakimi menjerit. Segalanya diserahkan kepada Allah. Hanya Dia yang mampu mengubah segala-galanya.

No comments:

Post a Comment