Wednesday, November 17, 2010

KU INGIN KAMU : BAB 25

Bab 25

”Ya Allah, apa makna semua ini? Kenapa sejak akhir-akhir semakin teruk?” Hakimi mengeluh sendiri. Dadanya berombak kencang. Peluh mula menitik di dahinya. Semakin lama semakin kerap dia terjaga pada tengah malam. Hidupnya bagaikan di buru sesuatu yang tidak diketahui sebabnya. Pada siang hari pula dia akan sentiasa terfikir mengenainya.

Hakimi melihat jam. Sudah pukul 2.30 pagi. Bukannya dia tidur dalam keadaan tidak bersih. Sebelum tidur Hakimi akan memastikannya dia dalam keadaan berwudhuk dan sebelum melelapkan matanya zikir akan sentiasa meniti di bibirnya sehingga terlelap. Adakah syaitan yang membuatkannya gelisah semenjak akhir-akhir ini? Hakimi semakin bingung.

Hakimi cuba bertahan untuk cuba tidak memperdulikan semua itu. Biarlah ia berlalu pergi dimamah masa. Hanya pada Allah diluahkan segala perasaannya. Al-Quran pula penemannya setiap hari yang mampu memberi kelegaan pada jiwanya yang sentiasa tertekan. Mungkin Hakimi akan hilang kewarasannya jika hatinya jauh dari Yang Maha Kuasa.

Fikirannya cuba dialihkan kepada kerja, mencuba untuk tidak memikirkan perasaannya. Hakimi berharap agar Ayu dilindungi Allah dari perkara-perkara yang tidak baik. Jika berlaku sesuatu terhadap Ayu, Hakimi pasti tidak akan memaafkan dirinya. Kerana apa yang berlaku pasti disebabkan olehnya.

Hakimi masih ingat pertemuannya dengan Balqis bulan lepas. Peristiwa itu sudah cukup membuatnya kembali gila. Setelah itu, mimpi-mipi dari Ayu pula menghantui dirinya. Dirinya semakin terseksa. Tidak mampu Hakimi meluahkan perasaan itu. Jika diluah air matanya mampu tumpah sekali lagi.

Lega apabila kedua orang tuanya sudah selamat kembali pulang. Di rumah Hakimi akan menyibukkan diri bersama keluarga. Apabila di pejabat, Hakimi akan menyibukkan dengan pelbagai kerja. Pada waktu terluang, Lina yang akan mengisi ruang kosongnya.

”Happy birthday Lina!”

”Mi, terkejut Lina. Thanks ya?” Hakimi muncul dari belakangnya sambil membawa sebuah kek.

”Sama-sama Lina comel! Lama dah Mi tunggu nak buat ni dekat bestfriend Mi yang paling Mi sayang.”

”Sayang macam mana tu?”

Hakimi tidak menjawab sebaliknya meletakkan kek itu di atas meja Lina dan meminta Lina meniup api lilin bernombor 23 di atas kek itu. Kemudian Hakimi memanggil pekerja lain untuk meraikannya. Hakimi merancangnya sendiri tanpa melibatkan pekerjanya. Lina memang istimewa di hatinya. Walaupun bukan cinta. Tetapi kasih sayang yang Hakimi sendiri akan memastikan bahawa kasihnya hanya sebagai seorang kawan.

Lina kadangkala tidak mengerti dengan sikap Hakimi. Adakah Hakimi memberikannya harapan atau sekadar mahu mengambil hatinya sebagai teman? Ada masa tertentu Hakimi akan menjadi begitu romantis dengannya dan sifat Hakimi seperti itu menambah bunga harapan di dalam hatinya. Hakimi seolah-olah memberinya harapan walhal Hakimi sebenarnya tidak bermaksud begitu.

”Ni pula hadiah untuk Lina okey?”

”Ada hadiah lagi? Susah-susah Mi je buat semua ni.” sebuah kotak berwarna biru terikat reben berwarna silver pada kotak itu.

”Taklah susah sangat. Jangan buka sekarang ya? Tunggu nanti waktu takde orang Lina buka ya? Segan nanti orang tengok.”

”Okey boss.” senyuman manja Lina terukir di bibirnya. ”Mi, yang ini untuk Mi sebab susah payah untuk Lina.” Lina mengambil sedikit cebisan dari sepotong kek menggunakan sudu dan disuakan ke mulut Hakimi. Hakimi tidak dapat menolaknya lagi. Kemudian kek disuap ke mulut Hakimi lalu pekerja yang lain bertepuk tangan. Bagaikan melihat sepasang kekasih bermanja di televisyen.

Setelah meraikannya para pekerja lain kembali meneruskan pekerjaan mereka. Senyap-senyap Lina membuka kotak berwarna biru itu. Di dalamnya terdapat sepasang baju kurung biru dan sehelai tudung berwarna biru muda. Sangat cantik. Lina menyimpan hadiah dari Hakimi itu ke dalam laci mejanya.

”Mi.terima kasih sangat-sangat. Mi buat Lina happy sangat hari ini. Hadiah tu pun cantik sangat. Macam nak Lina bertudung je?” Lina bersuara sebaik sahaja masuk ke bilik Hakimi. Raut wajahnya begitu ceria. Kejutan sambutan hari lahir ke dua puluh tiga ini pertama kali untuk dirinya dari Hakimi. Kebiasaannya kejutan seperti ini mempunyai makna tersirat dari hati si pemberi.

”Em. Terpulang kat Lina.” Hakimi tersenyum kelat. Hadiah itu mempunyai kenangan tersendiri yang membuatkan hatinya sungguh sayu.

Dahulu, awal-awal lagi Hakimi sudah membeli sepasang baju kurung biru dengan niat untuk diberi kepada Ayu untuk dipakai pada majlis pertunangan mereka. Warna kegemaran Ayu itu sedikit sebanyak mempengaruhi hidup Hakimi. Jika kurung biru itu disarung ke tubuh Ayu pasti begitu cantik. Ayu seorang gadis yang cantik, comel, matanya adakalanya nampak begitu bulat walaupun kelihatan agak garang begitu memikat Hakimi. Ketinggian sederhana seperti gadis-gadis lain ditambah pula aset pipi yang comel membuat terasa mahu dipeluk gadis itu sepuas-puas hatinya. Perkara yang paling Hakimi menyukai tentang Ayu ialah Ayu kebiasaannya akan berkelakuan macho seolah-olah lelaki tetapi sebenarnya Ayu sangat manja. Adakah Ayu akan menjadi miliknya? Ayu pula sudah hilang entah ke mana. Belumpun sempat untuk dipinang Ayu sudah disambar orang lain. Harapannya terkubur begitu sahaja.

Wajahnya ditekup perlahan. Bayangan Ayu semakin menghantuinya. Sudah lama peristiwa itu berlaku tetapi Hakimi masih tidak dapat menangkis perasaannya terhadap Ayu dari terus menguasai dirinya. Ayu. Hakimi mengaku sekarang, Hakimi memang tidak dapat melupakan Ayu. Hakimi rindukan segala-galanya tentang Ayu. Hakimi masih cintakan Ayu! Matanya mula digenangi air.

”Mi, kenapa ni?” sedari tadi Lina memerhatikan Hakimi mula termenung sendiri dan wajah hakimi turut berubah tiba-tiba lantas Lina terus menegurnya.

”Huh?” Hakimi tersentak dengan pertanyaan Lina. Lina mengangkat-angkat keningnya meminta kepastian. ”Eh. Sorry Lina. Lina. Mi nak bersendirian dulu ya?”

Tiba-tiba sahaja emosi Hakimi terganggu. Lina kemudian meminta diri setelah Hakimi meminta mahu ditinggalkan bersendirian. Hakimi membuka tingkap di biliknya. Pendingin hawa dimatikan sebentar. Rokok di bibirnya kemudian dinyalakan. Kelegaan sementara ini memang melegakan dirinya.

Hari ini kerja di atas mejanya dibiarkan sahaja. Kepalanya menerawang sebentar dibawa asap rokok yang dihembus keluar dari paru-parunya. Sudah jam 11 pagi dan Hakimi sudah terlalu bosan dengan situasinya sekarang. Rokok itu dihabiskan segera dan Hakimi mencapai beg galasnya dan terus keluar dari biliknya. Hakimi fikir lebih dia berehat di rumah sahaja. Sebelum keluar dari pejabatnya Hakimi singgah sebentar ke ruang kerja Lina.

”Lina, Mi nak balik dulu. Kalau ada masalah ke apa yang berkaitan call Mi.” Hakimi terus berlalu pergi tanpa menunggu balasan dari Lina. Lina dibiarkan terpinga-pinga sendirian di situ.

BMW 525i berwarna biru gelap diletakkan di belakang Isuzu D-Max hitam milik Hakimi. Garaj rumahnya sudah penuh dengan dua buah kereta. Kereta Encik Ismail memang diletakkan di garaj dan jarang digunakan dan sebuah lagi kereta Perodua Myvi berwarna perak milik Akma sudah memenuhkan ruang garaj di hadapan rumah Hakimi.

”Awal balik?” Soal Puan Rahimah saat Hakimi muncul di hadapan rumah setelah salam diberikan.

”Pening kepala la bu.” Hakimi meletakkan beg galasnya di sofa. Kelihatan Luqman sedang bermain lego bersama Mal. Terus Hakimi menuju ke arah Luqman lalu Luqman dipeluk dan dicium. ”Luqman! Sayang dia! Main apa ni?”

Luqman meronta-ronta minta dilepaskan. Rimas diperlakukan sebegitu. Sengaja Hakimi tidak mahu melepaskannya.

”Abang Mi, lepaskan lah Luqman tu. Dari budak-budak sampai dah tua masih nak menyakat orang je.” Akma menegur Hakimi. Memang benar perangai Hakimi yang suka menyakat orang tidak pernah berubah. Entah bagaimana pula nasib anaknya nanti.

Puan Rahimah turut menegur perangai Hakimi itu. Setelah Hakimi bosan mendengar bebelan Puan Rahimah dan Akma, Hakimi melepaskan Luqman dan terus berlalu ke tingkat atas. Katil sudah terbayang di kepalanya. Kemejanya dibuka dan digantikan dengan sehelai singlet berwarna hitam. Badannya dihempas ke atas katil. Bantal pula dipeluk sekuat hatinya.

Sedang Hakimi menikmati keselesaaan di katilnya bersama bantal-bantal peluknya, telefon bimbitnya berbunyi menandakan panggilan masuk. Nama Ayu menari-nari di skrin telefon bimbitnya. Lama sudah gadis itu tidak dihubunginya. Terus sahaja Hakimi menjawabnya.

”Assalamualaikum, ye Ayu?”

”Mi, tolong Ayu.” tiba-tiba talian terputus. Namun apabila Hakimi cuba menghubunginya kembali panggilannya hanya dijawab operator sahaja. Pelbagai persoalan bermain di mindanya.

No comments:

Post a Comment