Wednesday, November 17, 2010

KU INGIN KAMU : BAB 27

Bab 27

”Saya tengok budak Hakimi tu macam okey.” Luah Encik Othman kepada isterinya.

”Depan je bang. Belakang kita, kita tak tahu macam mana. Abang tengok lah dia tu. Dah la kurus, cengkung, lepas tu saya tengok budak tu macam kusut je.”

”Anak kita yang buat dia jadi serabut macam tu.”

“Takkanlah anak kita pulak. Ayu tak pernah pula cerita apa-apa pasal Hakimi tu. Abang boleh percaya ke kata-kata perempuan tu? Saya tengok Hakimi tu pulak macam tak percaya. Orang macam tu ada bisnes besar?”

”Saya takdelah percaya kata-kata dia seratus peratus. Tapi cuba awak tengok betul-betul. Kalau dia menipu takkan dia mampu nak tanggung kos penginapan kita dekat hotel mewah ni?”

”Abang ni. Mana tahu dia berkomplot dengan kawan perempuan dia tu sengaja nak kita percayakan dia.” Puan Maznah mula menaruh syak wasangka.

”Nah, saya tak kisah pun kalau Hakimi tu kaya atau tidak. Yang penting dia boleh jaga Ayu. Saya nampak kesungguhan dia tadi. Dari mata dia saya nampak dia betul-betul sayangkan Ayu.”

“Dahlah bang, penat dah saya nak melayan abang. Tadi saya tengok abang yang bersungguh-sungguh tak suka budak tu. Ni abang pula yang membela dia.” Puan Maznah mencari sesuatu di dalam begnya. “Bang, kita solat dulu ya? Saya dah mengantuk nak tidur. Esok awal-awal pagi kita pergi sana ya?”

“Yelah. Tapi waktu pagi bukan kita perlu tunggu waktu melawat ke?”

”Kita ni ibu bapa dia. Mesti pihak hospital benarkan kita menjenguk anak kita tu. Budak Hakimi tu pun dibenarkan menjaga Ayu takkan kita ibu bapa dia tidak dibenarkan pula.”

Encik Othman penat melayan kerenah isterinya. Bagaikan undang-undang pula yang perlu mengikut katanya. Selepas mengambil wudhuk mereka solat isyak berjemaah. Setelah selesai mereka terus tidur. Perjalanan selama enam jam begitu meletihkan mereka. Walaupun Encik Othman risau memikirkan anaknya yang ditinggalkan bersama Hakimi tetapi kerisauan itu terbenam disebalik keletihan yang menyelubungi dirinya.



Sesudah sahaja bersarapan di hotel, pasangan suami isteri itu terus memandu ke Hospital Sultanah Aminah yang tidak jauh dari hotel tempat mereka menginap. Setelah berbincang dengan pihak hospital mereka dibenarkan untuk menjenguk Ayu. Sewaktu masuk ke wad Ayu, mereka terkejut melihat di penjuru bilik kelihatan seorang lelaki berambut panjang dan berkopiah sedang sujud di situ. Encik Othman tidak berkata apa-apa dan memberi isyarat senyap kepada Puan Maznah.

Sekali sekala terdengar bunyi esakan dari lelaki itu yang sedang sujud itu. Agak lama dia dalam keadaan itu. Setelah selesai solat lelaki itu terus berdoa. Doa yang agak panjang namun tidak difahami Encik Othman kerana di dalam bahasa arab. Namun dia tahu itu adalah bacaan doa untuk selepas mengerjakan solat hajat.

Hakimi bangun dan melipat sejadahnya. Dia terkejut dengan kehadiran orang tua Ayu di situ. Cepat-cepat dia menyeka air mata yang bergenang di matanya yang kelihatan merah itu dan terus bersalaman dengan mereka.

”Pakcik, Makcik, lama sampai?”

”Kami lebih sihat kalau melihat anak kami ni sembuh dan tidak terus terbaring di sini.” Encik Otman menjawab.

”Mak cik pun macam tu juga.” Puan Maznah menambah.

“Macam mana malam tadi? Selesa dengan hotel yang Lina hantarkan tu?” Hakimi bertanya lagi sekadar berbasa basi.

“Alhamdulilah. Buat susah kamu saja. Sudah lebih dari selesa.” Encik Othman akan berada di Johor Bahru sehingga Ayu benar-benar sembuh. Tidak sanggup rasanya hendak menyusahkan Hakimi. Bayaran di hotel itu bukannya murah. “Hakimi. Kamu lelaki. Tak perlu ditangisi dengan apa yang berlaku. Kamu kena redha dengan apa yang berlaku.Insya Allah Ayu akan sembuh.”

Encik Othman juga terharu dengan keikhlasan Hakimi dan mungkin dia akan dapat menerima Hakimi. Puan Maznah tiba-tiba menyiku suaminya itu apabila dia berkata begitu kepada Hakimi. Dia tidak begitu suka dengan sikap suaminya yang tiba-tiba begitu baik dengan orang yang baru dikenalinya. Puan Maznah cuma risau jika Hakimi itu berpura-pura sahaja sekadar mahu mengambil hati orang tua gadis yang disukainya.

”Insya Allah. Saya buat apa yang saya mampu je pak cik.” Hakimi tersenyum hambar. “Pakcik dengan Makcik dah sarapan? Malam tadi saya ada beli roti untuk buat sarapan dekat sini.” Hakimi mengeluarkan sebungkus roti dan diletakkan di hadapan mereka.

”Kami dah sarapan dekat hotel tadi. Ni kenapa plastik pun tak buka lagi? Kamu tak sarapan lagi?”

”Nantilah saya sarapan. Belum ada selera lagi pakcik.”

Hakimi lega kerana hubungannya dengan Encik Othman bertambah mesra. Khuatir Encik Othman akan terus mempersalahkan dirinya terus dan memperkecil-kecilkan dirinya. Kini Hakimi dan ibu bapa Ayu bergilir-gilir menjaga Ayu.

”Hakimi, pakcik tengok kamu asyik disini menjaga Ayu. Bila masa kamu bekerja?” Encik Othman hairan bagaimana Hakimi punya begitu banyak masa untuk menemani Ayu. Sudah hampir seminggu Hakimi bergili-gilir dengannya menjaga Ayu.

”Saya minta partner saya handle semua kerja saya. Sebelum ni dia lebih kepada rakan kongsi lelap. Bila Ayu dah macam ni saya minta tolong dia uruskan. Saya ada cakap dengan Lina bantu partner saya tu. Sebab dia pun tak berapa mahir sangat.”

”Oh, macam tu. Kerja semua sekarang ni okey?”

”Alhamdulilah pakcik. Masih stabil. Semua tu datang dari Allah jugak. Saya terima apa yang dia nak bagi.”

Pintu bilik dibuka perlahan-lahan. Hakimi dan Encik Othman memandang ke arah pintu. Encik Ismail dan Puan Rahimah muncul di muka pintu itu. Lantas Hakimi terus bersalaman dan Hakimi terus memperkenalkan ibu bapanya dengan Encik Othman dan Puan Maznah. Mereka bersalam-salaman.

Hakimi gembira dapat menemukan kedua keluarga itu. Puan Rahimah mengusap ubun-ubun kepala Ayu. Kasihan melihat musibah yang dihadapi gadis itu. Wajahnya pucat dan badannya semakin kurus. Encik Ismail dan Puan Rahimah kemudian bertanya mengenai perkembangan kesihatan Ayu. Namun tiada yang mampu memberi jawapan untuk persoalan itu. Mereka kermudiannya beralih kepada topik lain dan berbual mengenai perkara yang diluar dari kesedihan ini.

Kelihatan seperti tiada sebarang masalah diantara mereka. Masih dapat bergurau senda pada pertama kali berjumpa walaupun suasana di situ tidak begitu sesuai. Nasib baik mereka memilih untuk berbual diluar kerana khuatir menganggu Ayu yang sedang berehat untuk jangka masa yang lama. Puan Maznah pula baru tahu yang Ayu sebelum ini memang rapat dengan keluarga Hakimi sebelum mereka membawa haluan masing-masing.

Setelah habis waktu melawat Encik Ismail dan Puan Rahimah meminta diri untuk pulang dan Hakimi juga meminta diri untuk pulang bersama ibu dan bapanya. Hakimi juga berjanji akan datang pada sebelah malam iaitu selepas Isyak untuk mengganti giliran menjaga Ayu. Hospital itu sudah seperti rumah kedua Hakimi. Dia tidak kisah berulang alik dan bersusah payah untuk Ayu. Dia hanya berharap agar orang yang dicintainya itu terus sihat walaupun dia tahu Ayu tidak akan menerimanya lagi.

” Biarlah aku mencurahkannya tanpa sebarang balasan kerana cinta itu tidak semestinya memiliki.” luah hati Hakimi sendiri.

No comments:

Post a Comment